Oleh : Siti Rokiah Abdullah / Foto : Ihsan Awang Haji E'rifin Haji Mohd. Yusof
LUMAPAS, Rabu, 11 Mac. - Dalam usaha menyantuni serta menceriakan anak-anak yatim, satu Majlis Penyampaian Sumbangan Derma kepada anak-anak yatim Mukim Lumapas telah diadakan bagi membantu serta memberi kegembiraan kepada mereka, khususnya sempena bulan Ramadan yang penuh keberkatan yang berlangsung di Masjid Kampung Putat, baru-baru ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Awang Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Awang Amran bin Haji Maidin, juga Penghulu Mukim Lumapas, Daerah Brunei dan Muara, selaku Pengerusi Majlis.
Majlis dimulakan dengan penyampaian sumbangan derma kepada anak-anak yatim oleh tetamu kehormat majlis dan disusuli dengan bacaan Tahlil dan Doa Arwah yang dipimpin oleh Bilal Masjid Kampung Putat, Awang Affendi bin Haji Taha. Manakala, Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam diketuai oleh Ketua Imam Masjid Kampung Putat, Awang Md. Ahmad Hasyer bin Haji Samry.
Sumbangan yang disampaikan merupakan hasil kutipan derma daripada orang ramai serta sumbangan daripada individu-individu dan pihak yang prihatin terhadap kebajikan masyarakat.
Melalui sumbangan berkenaan, para penerima diharap dapat merasakan sedikit keceriaan serta bantuan dalam menjalani kehidupan seharian, khususnya dalam menyambut bulan Ramadan.
Selain sebagai usaha untuk meringankan beban anak-anak yatim dan keluarga mereka, majlis berkenaan juga menjadi platform untuk mengeratkan lagi silaturahim serta memupuk semangat perpaduan dan saling bantu-membantu dalam kalangan masyarakat Mukim Lumapas.
Pihak penganjur turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penyumbang yang telah bermurah hati menghulurkan sumbangan bagi menjayakan majlis berkenaan. Semoga segala sumbangan yang diberikan akan mendapat ganjaran serta keberkatan daripada Allah Subhanahu Wata'ala.
Majlis seumpama berkenaan diharap akan terus diadakan pada masa akan datang sebagai usaha berterusan dalam memupuk budaya prihatin serta menggalakkan masyarakat untuk terus berganding bahu membantu golongan yang memerlukan.